Tarikh Hari ini:25 June, 2019

Panduan Mudah Untuk Potensi Pelaburan 2019

 

Selain melihat kepada prestasi yang lalu untuk sesuatu pelaburan, kita juga perlu melihat potensi untuk masa hadapan (market outlook). Jadi, apa potensi dan peluang yang ada pada 2019 ini? Sebelum kita lihat dalam Malaysia, eloklah kita mula dengan helicopter view iaitu global. Kemudian, kita pergi top down approach iaitu ke Malaysia pula.

Pertumbuhan Ekonomi Global Perlahan Tetapi Masih Sihat

Dijangkakan pertumbuhan ekonomi US sebanyak 2.6% dalam 2019. Europe pula 1.6%, manakala Emerging Markets dijangkakan 4.9%.

Kenapa pertumbuhan ni dikira masih sihat walaupun perlahan? Kerana pertumbuhan ini disokong oleh pendapatan korporat (corporate earnings) iaitu dijangkakan 8.5% pada 2019, ditambah dengan bacaan return on equity yang lebih baik.

Pertelingkahan (Trade War) antara China dan US Dijangka Akan Meleret Sehingga Dua Tahun Akan Datang

Seperti mana kita tahu, pertelingkahan antara  China dan US yang bermula pada Julai 2018  masih belum selesai sampai sekarang. Dan akan terus berlarutan sehingga pilihanraya presiden 2020.

Dengan ini, market Asia akan menampakkan penambahbaikan dari segi sentiment para pelabur. Kalau kita lihat pada 2018, berlakunya sell-off dimana pelabur-pelabur tarik diri daripada pasaran ekuiti.

Tekanan bertambah bila wujudnya monetary policy yang lebih ketat, dan dijangkakan nilai USD Dollar akan melemah.

Potensi Pasaran Asia

Seperti poin diatas, para pelabur mula beralih ke Asia. Walaupun momentum awal agak perlahan tahun ini, tapi secara keseluruhan penilaian pasaran ekuiti Asia telah pulih dan menjadi peluang kepada para pelabur untuk ambil peluang ketika ini.

Walaubagaimanapun, pasaran saham di Asia dijangka akan menghadapi sedikit ‘cabaran’ selepas pasaran di US mengalami pengambilan untung  berikutan laporan Wall Street Journal mengenai siasatan ke atas Huawei Techonologies atas dakwaan mencuri rahsia perdagangan. Manakala di Eropah, Deutshe Bank dikhabarkan sedang merancang untuk bergabung dengan sebuah lagi bank Eropah. Minyak dunia pula ditutup tinggi selama dua hari berturut-turut berikutan signal yang diberikan oleh Arab Saudi dan Russia untuk kembali ke pelan asal memotong penghasilan minyak mereka. (1)

Pasaran China

Berdasarkan data rasmi keluaran dalam kasar (KDNK) China, ekonomi China semakin perlahan untuk suku kedua berturut-turut dari 6.7% kepada 6.5%, menjadikan ia pertumbuhan paling perlahan dialami mereka sejak krisis ekonomi 2007-2008.

Ada yang beranggapan sasaran pertumbuhan sebanyak 6.5% itu hampir mustahil. Ini disebabkan pengurangan dalam banyak segi seperti pengurangan perbelanjaan industri, pelaburan tetap, jualan runcit, indeks perdagangan dan pembuatan rasmi.

Selain itu, kuasa membeli dan menjual dalam kalangan pengguna dan penjual juga berkurangan. Satu industri yang dilihat tidak terjejas ialah industri pembinaan yang menjadi kegemaran penggubal-penggubal dasar kerana memberi respon positif kepada pertambahan kredit. Dari segi pelaburan saham, China sudah kehilangan sekitar 22% sejak tahun lepas dengan mata wang yuan jatuh hampir enam peratus.

Sementara Tabung Kewangan Dunia (IMF) pula menjangkakan pertumbuhan ekonomi China antara 6.2% hingga 6.6%, sekaligus meletakkan ia di belakang India yang dijangka akan mencatat pertumbuhan sebanyak 7.4%. Antara punca yang menyumbang kepada anggaran kadar sedemikian ialah pertindihan strategi yang berbeza, campur tangan kerajaan dalam ekonomi dan had bagi rejim pelaburan dan perdagangan.

Bagi pakar-pakar ekonomi dan kewangan, gencatan perang dagang selama 90 hari antara Beijing dan Washington dilihat mampu membuka ruang kepada penyelesaian yang bersifat menang-menang kepada kedua-dua belah pihak. Mana tidaknya, perang dagang kedua-dua negara ini bukan saja memberi kesan serius kepada Beijing dan Washington tetapi juga kepada ekonomi dunia. Jika kedua-dua pihak berterusan berkelakuan seperti anak kecil dalam soal ini, ia boleh mengurangkan kadar KDNK China sebanyak 0.5%. Ini boleh berlaku sekiranya Washington terus mengenakan tarif ke atas produk-produk China sebanyak $517 bilion.

Antara punca perang dagang ini ialah pertikaian membabitkan perpindahan teknologi secara haram, pengintipan dalam talian dan pembabitan pelaburan syarikat berkaitan negara. Dan melihat kepada insiden penahanan ketua pegawai kewangan (CFO) Huawei Meng Wangzhou pada Disember tahun lepas, penelitian terhadap semua projek yang digerakkan Huawei dan respon keras China terhadap semua ini, sebarang usaha untuk menamatkan ketegangan ekonomi antara dua kuasa ekonomi dunia itu bakal berdepan jalan sukar. Dan ini diakui sendiri oleh penasihat presiden Donald Trump, Peter Navarro yang menyifatkan tempoh 90 hari moratorium tersebut sebagai mustahil untuk sebarang perjanjian dicapai. Navarro yang dikenali dengan sikap kerasnya terhadap China turut menolak apa-apa cadangan yang bersifat jangka pendek dan sebaliknya mahukan langkah yang dilihat menjamin masa depan Amerika Syarikat, negara-negara Eropah dan Jepun.

Bagi China pula, walaupun jangkaan ekonomi tahun ini dianggap mencabar, itu tidak menghalang mereka berusaha memperkenalkan pelbagai langkah untuk mengubah trend yang berlaku ketika ini. Pada 21 Disember lepas, China meluluskan rancangan rangsangan ekonomi mereka yang membawa kepada langkah-langkah seperti pemotongan cukai dan melonggarkan dasar mata wang negara. Penggubal-penggubal undang-undang melihat polisi fiskal bersifat proaktif ini dilihat dapat membantu mengukuhkan semula pertumbuhan ekonomi negara. Polisi yang digerakkan sejak tahun lepas termasuk potongan cukai berjumlah 1.3 trilion yuan atau $188 bilion.

Mereka juga mendesak dasar monetari negara bersifat sederhana iaitu tidak menjejaskan kedudukan kewangan negara tetapi pada masa sama, terus menarik pelabur datang ke negara berkenaan. China juga terpaksa mengurangkan usaha mengawal hutang negara dengan penggubal undang-undang bersedia memberi tambahan kenaikan untuk bon keajaan tempatan. China juga dilihat meneruskan agenda ‘Made in China 2025’ yang memberi peluang kepada negara berkenaan sebagai pemimpin dalam beberapa industri teknologi tinggi utama, satu perkara yang membuatkan negara Uncle Sam dan sekutunya terus berbulu.(2)

Sekarang kita kecilkan skop kita ke Malaysia pula.

Penumbuhan Ekonomi Sederhana Tetapi Masih Sihat

Kementerian Hal Ehwal Ekonomi dalam kenyataan rasminya hari ini (17 Januari 2019) mengakui bahawa ekonomi Malaysia berada dalam pertumbuhan memberansangkan dalam tempoh 4 dekad yang lalu.

Sepanjang tempoh 1971 hingga 2017, Malaysia telah mengalami pertumbuhan purata 6.2% setahun; jauh lebih baik berbanding purata pertumbuhan ekonomi dunia (3.1%) dan purata pertumbuhan ekonomi negara membangun (4.7%).

Pertumbuhan ekonomi yang memberansangkan ini juga dinikmati oleh rakyat secara keseluruhan melalui purata kadar inflasi yang rendah (3%) dan purata kadar pengangguran yang baik iaitu di bawah 4%.

Secara keseluruhan, Malaysia adalah sebuah negara yang kompetitif. Berada di kelompok tiga teratas di Asia Tenggara dari segi pelaburan langsung asing, tempat ke 22 daripada 63 negara dunia dalam senarai IMF World Competitiveness Yearbook 2018 dan tempat ke 15 daripada 190 negara dunia dalam Laporan World Bank Doing Business 2018

Kenyataan itu juga menyebut bahawa kementerian sedang dalam proses menyemak semula perancangan semasa bagi menambahbaik pembangunan di negara ini dengan kerjasama dan pemulihan agensi agensi di bawah tanggungjawabnya.

Secara keseluruhannya, tahun 2018 adalah tahun yang tidak bernasib baik bagi ekuiti, terutamanya secara global.

FBMKLCI mencatatkan -7% pada tahun lepas manakala sektor mid-small cap (FBMSC Index) mencatatkan sehingga -30% pada tahun lepas.

Pertumbuhan ekonomi Malaysia menjadi perlahan tahun lepas disebabkan faktor luaran seperti trade war antara US dan China, selain daripada faktor dalaman iaitu pertukaran kerajaan dan beberapa polisi yang masih tidak utuh.

Small-to-Mid Cap Kelihatan Akan Buat Come Back

Setelah mencatatkan keuntungan +15.9% pada tahun 2017, tahun lepas sektor ini melakukan terjunan sehingga -30% pada 11 Disember 2018. Prestasi ini lebih dipengaruhi oleh sentiment berbanding asas (fundamental) yang kuat.

Kelihatan Bajet 2019 kali ini banyak memberi fokus kepada PKS/SME iaitu sebanyak RM17.94 bilion. Dengan ini, secara tak langsung akan menaikkan sektor mid-small Cap.

Kalau kita lihat trend graf sektor Mid-Small Cap, setiap kejatuhan itu akan berlaku kenaikan semula. Dimana tahun lepas, rekod menunjukkan kejatuhan lebih 30%. Dengan valuasi (valuation) yang murah ditambah dengan inisiatif kerajaan untuk boost SME, kemungkinan sektor ini mempunyai peluang pada tahun ini.

Nilai Ringgit Menguat

Pada 2018, nilai Ringgit jatuh lebih -3.0% dibandingkan dengan US Dollar. Tahun ini, dijangkakan Ringgit akan menguat kerana 3 faktor :

  • Kurangnya kenaikan kadar Dolar oleh US Fed
  • Kestabilan harga minyak mentah
  • Jangkaan kemasukan Foreign Direct Investment (FDI) ke Malaysia

Kesimpulannya, untuk jangka masa panjang, Malaysia secara keseluruhannya kelihatan positif dengan didorong oleh ekonomi sektor swasta. Walaubagaimanapun, untuk jangka masa pendek, Malaysia agak volatile disebabkan kurangnya catalyst baru daripada kerajaan baru dan ditambah faktor luaran seperti Trade-war yang tidak berpenghujung, pertumbuhan ekonomi China yang perlahan, ketidapastian Brexit serta global monetary policy yang makin ketat.

Oleh itu, pelabur boleh memastikan portfolio pelaburan dalam keadaan yang sederhana dan kurangkan penglibatan yang berkaitan dengan perbezaan matawang (Global). Untuk mengambil peluang ekuiti dalam keadaan yang menentu ini, dana ekuiti yang fokus memberi pendapatan tetap (annual distribution) dan juga pendedahan dana mid-small cap Malaysia boleh dipertimbangkan.

Sumber :

(1) Post MyTwoCents.asia

(2) Pertumbuhan Perlahan Ekonomi China – Post MyTwoCents.asia

(3) Key Investment Themes and 2019 Outlook

(4) Malaysia 2019 Market Outlook

 

Share

Zuhair Masiran adalah seorang Licensed Financial Planner dan merupakan peminat tegar dunia pelaburan. Selain tu, beliau sangat minat hal-hal yang memerlukan kreativiti seperti grafik design. Beliau juga menulis dalam blog personalnya, notawang.com. Jika ada persoalan hal kewangan peribadi, boleh hubungi beliau untuk dapatkan nasihat yang kreatif!.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *