Tarikh Hari ini:26 August, 2019

6 Tips Berkesan Didik Anak Menabung dan Menyimpan Duit

Jarang ilmu kewangan dan pengurusan kewangan yang berkesan diajar di sekolah. Ilmu ni sangat penting pada zaman sekarang. Jadi, nak tak nak, kita sebagai ibu bapa lah yang kena didik anak menabung dan menyimpan Duit.

Masa kecil ni lah waktu terbaik untuk latih mereka. Kita pupuk minat mereka untuk menyimpan. Kena mulakan daripada sekarang.

#1 – Sediakan Tabung Yang Sesuai Untuk Memupuk Anak Menabung dan Menyimpan Duit

Sediakan tabung lutsinar yang kita dan anak boleh nampak berapa banyak duit yang telah mereka simpan. Bagi saya, saya cuma sediakan bekas kuih kosong yang sederhana untuk mereka menyimpan. Tak payah beli mahal-mahal. Besar pula tu.

Tabung Sedekah dan tabung simpanan. Anda sendiri boleh tahu yang mana tabung untuk tujuan tu. Hehe

Senang nak nampak. Banyak mereka simpan atau tak. Kalau nampak ruang-ruang kosongnya, sudah tentu duit yang simpanan belum banyak.

Bila mereka nampak hasil tabungan mereka, rasa semangat nak tambah dan terus menyimpan.

#2 – Berikan mereka wang saku dan ajarkan mereka cara menguruskan perbelanjaan

Walaupun dibekalkan dengan makanan ke sekolah, saya tetap akan memberikan wang saku kepada mereka. Setiap kali pulang, mesti saya akan tanya, apa yang mereka beli, berapa harga dan berapa banyak boleh mereka simpan untuk hari tersebut.

Jika, apa yang mereka adalah satu benda yang tak berkhasiat, nasihati mereka supaya beli benda yang berkhasiat lain seperti buah-buahan atau susu. Jika nak makan keropok, boleh tapi mesti makan dengan saya 🙂

#3 –  Ajarkan Mereka Mengenai Matlamat menyimpan. Kenapa mereka perlu menabung?

Ajar mereka setiap duit yang mereka simpan mempunyai matlamat. Apakah yang dibelanjakan setelah duit dalam tabungan cukup.

Saya sarankan, anda sediakan beberapa tabung untuk tujuan tertentu. Contoh:
1) Tabung untuk simpanan
2) Tabung untuk membeli kehedak (selalunya kanak-kanak lebih cenderung membeli mainan)
3) Tabung sedekah

Ajar mereka tiada apa yang percuma dan senang nak dapat sekarang. Ayah dan emak terpaksa kerja keras untuk sekolahkan dan membesarkan mereka semua. Ajarkan mereka konsep bersyukur.

Bila mereka nakkan sesuatu yang tidak penting, gunakan tabung kehendak sebagai umpan mereka simpan duit sampai cukup untuk beli apa yang mereka mahu. Sememangnya lumrah kanak-kanak ingin membeli permainan dan mereka akan cuba memenuhkan tabung kehendak dahulu.

Tinggi cita-citanya, nak kumpul sampai dapat beli PS4. Entah-entah cukup je duit, PS5 dah keluar.

Dalam proses menabung,inilah masa yang sesuai untuk kita terapkan erti nilai wang kepada mereka. Tabung mana yang menjadi prioriti untuk dipenuhkah dan kenapa?

Baca artikel: Artikel Viral Ajar Anak Tentang Duit

#4 – Berikan Ganjaran Kecil Sebagai Galakan Atas Usaha Anak-Anak

Sesekali berikan mereka ganjaran daripada usaha mereka dalam meningkatkan tabungan. Benda yang paling simple, yang selalu saya buat ialah dengan menambahkan tabungan mereka.

Selepas sebulan apabila saya nampak ada kemajuan dan tabung semakin penuh, saya akan tambahkan sedikit duit saya ke dalam tabung mereka dan pastikan mereka tahu sebagai tanda kita reward usaha mereka.

Konsep ini sama seperti konsep simpan di bank. Pada akhir bulan, bank akan kongsikan keuntungan kepada penyimpan. Sebenarnya, sedikit sebanyak anak-anak yang menyimpan dah mengurangkan beban kita untuk perbelanjaan mereka sediri. Apasalahnya kita berkongsi penjimatan kita dengan mereka.

#5 – Ibu bapa sebagai mentor dan role model

Nak anak-anak pandai menyimpan. Tapi anak-anak tak nampak pun emak ayah mereka menyimpan. Sesekali ajak mereka ke bank ke, Tabung Haji untuk tunjukkan mereka pula, cara orang besar menyimpan. Berapa banyak kita simpan? Apa tujuan kita simpan duit di sini? Kenapa kita perlu simpan di sini?

Bimbing mereka untuk berbelanja. Apa yang perlu dibeli dan apa yang boleh ditangguhkan dahulu. Sentiasa ingatkan mereka untuk bersedekah dan menderma. Ini untuk bekalan kita di akhirat.

Ibu bapa sebagai mentor dan role model kepada anak. Sentiasa berdiskusi dengan mereka.

Anda juga perlu kawal perbelanjaan anda. Proses pembembelajaran anak-anak adalah lebih kepada memerhati orang dewasa. Apa yang orang dewasa buat, itu yang mereka ikut. Tak kisah baik atau buruk. Jadikan anda role model yang terbaik untuk mereka.

#6 – Big Why! Berikan ilmu pelaburan untuk masa depan

Jika anda rasa, ilmu pelaburan terlalu berat untuk diajar sewaktu anak masih kecil, anda silap. Ajarkanlah seawal mungkin supaya mereka mendapat pendedahan awal.

Contohnya, hanya menyimpan sahaja, duit tidak dapat digandakan. Jadi seseorang itu perlu laburkan duit simpanannya. Bukakan akaun ASB untuk mereka (Akaun Bijak/ Remaja). Selepas setahun, tunjukkan agihan bonus dan dividen yang mereka dapat hasil daripada pelaburan mereka.

Tapi sekarang tiada buku simpanan dah untuk ASB, diharap lepas masukkan duit, jangan dibuang slipnya. Simpan elok-elok dalam fail.

Duit simpan dalam tabung haji nak buat pergi haji. Sumber gambar: abamkie.wordpress.com

Jika mereka faham konsep pelaburan, jadi mulakan dengan yang lebih besar. Kenalkan mereka dengan rumah dan macam-macam lagi.

Sikit-sikit lama-lama jadi bukit. Simpan sehari 50 sen pun dah okey untuk permulaan mengajar anak-anak. Ajarlah anak-anak menabung sejak kecil lagi. Bak kata pepatah, melentur buluh biarlah daripada rebungnya.

Ajar juga anak supaya suka bersedekah. Bila kita bawa mereka ke masjid, ajar mereka untuk sedekahkan duit. Bagi mereka masukkan sendiri duit dalam tabung masjid tu. Kita dapat pahala sebab duit tu asalnya daripada kita juga, tambah lagi pahala sebab ajar anak buat baik.

Jom terus praktik tips-tips ini. Mudah-mudahan anak kita nanti lebih pandai uruskan kewangan dan senang di masa depannya. Kah!

P/S: Apa tips korang didik anak menabung dan menyimpan duit? Kongsikan di ruangkan komen supaya kita boleh sama-sama belajar.

Hari-hari minum kopi sambil baca post-post kakiproperty.com dan ringgitmalaysia.com. Sudah 10 tahun menjejaki kaki di dalam industri hartanah. Perunding hartanah sepenuh masa dan bekerja sambilan sebagai office boy di KPGroup. Minat dalam kewangan terutamanya dalam #‎parenting‬ ‪#‎kidsfinancial‬ #personalfinance #pelaburanhartanah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *