Tarikh Hari ini:26 August, 2019

Buy British Last. Kempen Boikot Yang Menundukkan British!

Sekarang tengah hangat diperkatakan tentang boikot. Dalam ruang media sosial hangat di lakukan kempen untuk memboikot barangan dan servis kaum Cina. Kami secara peribadi berpendapat dan menyokong kempen untuk mengutamakan produk Muslim Bumiputra. Naratif nya lebih positif dan tetap mencapai tujuan yang sama iaitu meningkatkan kuasa ekonomi orang Melayu. Tahukah kita semua, yang sebenarnya, Malaysia sebagai sebuah negara pernah melaksanakan kempen boikot Buy British Last yang menundukkan British?

Apa Itu Buy British Last?

Buy British Last adalah kempen boikot barangan British yang di lakukan oleh Perdana Menteri ketika itu iaitu Dr Mahathir untuk menunjukkan tentangan terhadap beberapa polisi British yang menganiaya dan menekan Malaysia pada ketika itu.

Apa Yang Menyebabkan Kempen Buy British Last Terjadi?

Kempen Buy British Last telah di laksanakan oleh Dr Mahathir pada tahun 1981. Polisi ini adalah satu tindak balas kepada beberapa tindakan British yang melampau batas. Banyak sebab yang menyebabkan kemarahan Dr Mahathir terhadap British.

Guthrie Milik British

Perkara utama yang menyebabkan kemarahan Dr Mahathir ketika itu adalah isu Guthrie. Guthrie adalah syarikat milik British ketika itu yang memiliki 200,000 ekar ladang getah.

Bagi Dr Mahathir, ini masih lagi satu bentuk penjajahan kepada negara. Pada tahun 1981 juga, Permodalan Nasional Berhad telah melakukan satu misi dan strategi ekonomi paling mengejutkan yang dipanggil “Serangan Subuh” untuk mengambil semula Guthrie dari milik British menjadi milik Malaysia.

Sebenarnya, serangan subuh itu adalah satu tindak balas kerajaan Malaysia terhadap syarikat Britihs yang menjual anak syarikatnya kepada syarikat yang di miliki oleh parti MCA. Penjualan kepada MCA ini dilihat menentang agenda Dasar Ekonomi Baru(DEB) yang menyasarkan pemilikan 30% orang Melayu terhadap pemilikan syarikat korporat. Oelh di sebabkan Serangan Subuh ini, British telah meminda undang-undang mereka bagi mengelakkan kejadian sama berulang.

Yuran Pembelajaran Di Naikkan

Satu lagi yang menaikkan kemarahan kerajaan Malaysia ketika itu adalah isu kenaikan yuran pengajian di United Kingdom yang di naikkan mendadak. Dikatakan yuran pengajian dinaikkan 3 kali ganda dan hanya dikenakan kepada pelajar luar British sahaja. Dari £300 ke £900!

Peningkatan yuran pengajian ini menyusahkan 13,0000 pelajar tajaan Malaysia yang belajar di Britain.

Kedua-dua peristiwa ini yang menyebabkan kemarahan kerajaan Malaysia. Apabila kerajaan British menukar undang-undang mereka, maka kerajaan Malaysia tidak lagi berpeluang untuk mengambil balik syarikat British yang meneguk hasil mahsul negara yang sepatutnya milik Malaysia. Peningkatan yuran pula menyebabkan kerajaan Malaysia terpaksa berbelanja lebih untuk pelajar tajaan kerajaan.

Oleh sebab itu Dr Mahathir melancarkan kempen Buy British Last!

Apa Yang Terjadi Ketika Kempen Buy British Last?

Di bawah kempen boikot ini, kekangan terhadap produk yang di import dari British dikenakan. Turut dikenakan adalah kontrak terhadap setiap perniagaan dan urusan berkait dengan British. Setiap kontrak dan import dari British mesti mendapat kebenaran Pejabat Perdana Menteri.

Walaupun begitu, kekangan dikenakan di mana setiap kontrak dan import itu mesti disertakan pilihan alternatif lain selain produk dari British. Akhirnya yang terjadi import dan kontrak melibatkan British akan secara automatik tertolak dan alternatif lain telah dipilih.

Polisi ini menerima pelbagai reaksi. Dari pihak UMNO sendiri terutama pemuda UMNO berasa teruja dan bersemangat. Ketika ini semangat Nasionalisma membuak-buak kerana kerajaan di lihat melawan semula bekas penjajah yang pernah menjajah Malaya.

Dari pihak peniaga yang terlibat dengan produk British dan juga syarikat British merasa terkesan terhadap polisi ini. Mereka mengalami kerugian yang banyak akibat sekatan yang dikenakan.

Dari pihak kerajaan British pula, Perdana Menteri Margaret Thatcher turut runsing dengan polisi boikot ini. Kebanyakan perdagangan dengan Asia adalah melalui Malaysia. Tindakan Dr Mahathir ketika itu juga seakan mahu keluar dari persekutuan Komanwel. Jika ini terjadi, kreadibiliti Britain akan terjejas. Ini jelas ditunjukkan bila Dr Mahathir memboikot dari menghadiri persidangan CHOGM pada tahun 1981 dan1983.

Tindakan Margaret Thatcher.

Margaret Thatcher mahu selesaikan masalah itu dengan segera. Dia dikenali sebagai wanita besi (iron lady). Sebelumnya beliau menyesalkan krisis di Falkland melalui tindakan tegas. Walaupun begitu, dengan Malaysia, dia mahu melakukannya secara diplomasi.

Jadi dia menghantar Menteri Luar nya Baron Carrington dan Menteri Pertahanan, John Notts untuk berunding dengan Dr Mahathir.

Sebelum mereka sempat bertemu, hubungan 2 hala British-Malaysia ketika itu menjadi semakin teruk.

Pada 1982, kerajaan Malaysia mengambil semula Carcosa Hill yang menjadi milik British. Carcosa adalah kediaman Pesuruhjaya Tinggi British di Malaysia. Ia menjadi milik British selepas kemerdekaan apabila Tunku Abdul Rahman memberikannya kepada British sebagai hadiah tanda kemesraan  kepada hubungan antara 2 negara ini. Jadi, bagi menentang British, Dr Mahathir ketika itu mengarahkan supaya Carcosa di ambil semula.

Ketika kedua menteri British yang diarahkan oleh Margaret Thatcher berunding dengan Dr Mahathir, mereka gagal untuk capai kata sepakat. Bahkan dikatakan yang kedua mat saleh  ini dibiarkan untuk duduk lama menunggu di luar sebelum dapat berjumpa dengan Dr Mahathir.

Margaret Thatcher Sendiri Berjumpa Dr Mahathir

Oleh kerana kegagalan 2 menteri nya, Margaret Thatcher sendiri berjumpa dengan Dr Mahathir. Margaret Thatcher memanggilnya untuk berjumpa di London bagi mencapai kata putus untuk menamatkan polisi boikot tersebut.

Selepas pertemuan itu, Dr Mahathir dengan sendirinya menyatakan yang polisi Buy British Last ditamatkan. Isu berkaitan yuran yang tinggi diselesaikan oleh kerajaan British dengan mewujudkan tabung bantuan bernilai 160 juta pound untuk membantu pelajar Malaysia di sana.

Pada tahun 1984, British mengambil keputusan menyerahkan Carcosa sepenuhnya kepada Malaysia. Dan sebagai timbal balas, Dr Mahathir memberikan sebidang tanah bagi menggantikan Carcosa. Pada April 1985, Margaret Thatcher melawat Malaysia bagi menunjukkan hubungan baik antara 2 negara dan hubungan ini dikukuhkan lagi bila Dr Mahathir menghadiri CHOGM pada tahun 1985 dan kemudiannya Malaysia menjadi tuan rumah persidangan CHOGM pada tahun 1989 dan seterusnya tuan rumah sukan Komanwel pada tahun 1998.

Apa Yang Dapat Kita Belajar?

1. Menundukkan Kuasa Besar Dengan Ekonomi.

Kita mungkin tak mampu nak melawan kuasa besar dengan kekuatan persenjataan. Tetapi dengan menggunakan “leverage” yang ada kita boleh mengalahkan kuasa besar untuk ikut cara kita. Dalam hal ini, adalah ekonomi. Sama juga dalam tindakan boikot yang di adakan sekarang.

2. Rasa Bangga Dan Yakin Diri

Setelah beratus tahun di jajah, minda kita merasakan yang kita lemah. Tetapi peristiwa ini menunjukkan yang kita adalah suatu bangsa yang kuat dan mampu menundukkan kuasa besar yang lain.

3. Teguh Dengan Pendirian.

Satu sifat orang Melayu adalah suka beralah. Dalam peristiwa ini ditunjukkan yang bila kita teguh dengan pendirian, mereka akan terpaksa menurut permainan kita dan akhirnya menurut apa yang kita katakan.

Kami menyokong teguh kempen Buy Muslim Bumiputra First ini. Dalam naratif yang lebih positif ianya adalah gerakan ekonomi untuk meningkatkan dan menguatkan ekonomi umat Islam. Kita bukan menyuruh boikot membabi buta tetapi jika ada produk Muslim Bumiputra yang bagus dan baik serta pada harga kompetetif, dahulukan lah produk tersebut. Mungkin keadaannya berbeza kerana Buy British Last dilaksanakan oleh kerajaan, tetapi dengan strategi yang betul, kempen Buy Muslim Bumiputra First ini boleh berjaya.

Semoga dengan usaha ini, maka makin banyak usahawan Melayu yang makin maju dan berkembang dan seterusnya menguatkan lagi ekonomi umat Islam secara keseluruhannya.

Tajul Rijal adalah seorang usahawan dan merupakan peminat tegar dunia pelaburan. Beliau adalah co-founder kakiproperty.com dan juga ringgitmalaysia.com. Boleh hubungi beliau jika ada persoalan terutamanya dalam topik hartanah.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *