Tarikh Hari ini:21 October, 2019

Dasar Ekonomi Najib Yang Saya Rindu. (Tapi Saya Tak Lah Rindu Najib.)

Kalau baca tajuk ni confirm ada yang menyirap, ada yang malu, ada yang suka. Tapi tak kisah lah. Yang penting ini bukan artikel politik. Saya tulis awal-awal ini bukan artikel berbayar. Kami tak ambil client politik. Dan kami amalkan bersikap objektif. Ok. Dah lebih setahun kerajaan sekarang berdiri. Tapi masih tak berapa cantik dari segi ekonomi. Kalau kita toleh belakang, kita ingat balik, dasar ekonomi Najib sebenarnya ada banyak baik nya. Dan banyak juga yang bermanfaat.

Datuk Seri Najib Razak adalah Perdana Menteri Ke 6 dan di bawah pemerintahannya, kerajaan Barisan Nasional tewas dan sekarang di terajui oleh Pakatan Harapan.

Selama setahun lebih kerajaan Pakatan Harapan ini memegang kuasa dan setahun lebih yang lepas dengan janji untuk meningkat kan taraf ekonomi, nampak nya tu sembang kencang sahaja. Tak lebih. Tapi kita sebagai rakyat tak payah lah nak percaya sangat kerana akhir bulan yang bayar bil kita bukan Mahathir, Anwar mahupun Najib.

Tugas kerajaan adalah menjaga ekonomi dengan baik, dan memberikan ekosistem yang baik supaya rakyat boleh berkerja. Dan timbal balas nya adalah cukai yang dibayar. Tanpa ekosistem yang baik, adakah rakyat boleh berkerja dan membina kekayaan dan “shared proseperity” bak kata PM ke 7?

Kita mengimbau kembali dasar ekonomi Najib Razak yang saya sendiri rindu. Kita cuba bersifat objektif dan cuma menilai dasar tersebut. Sebelum itu, kita lihat dulu apa konsep dasar ekonomi Najib Razak amalkan.

Dasar Ekonomi Keynisian

Dasar ekonomi Keynisian adalah dasar ekonomi yang di amalkan oleh DS Najib Razak. Ma ma’na keynisian? Ekonomi Keynesian dianjurkan oleh ahli ekonomi British iaitu John Maynard Keynes pada era 1930an dalam usahanya untuk memahami Great Depression. Keynes menganjurkan supaya kerajaan meningkatkan perbelanjaan dan mengurangkan cukai untuk meningkatkan permintaan pasaran dan membawa keluar negara dari kejatuhan ekonomi.

Senang kata, daripada berjimat, teori Keynesian menganjurkan supaya kerajaan berbelanja lebih secara terpandu dan terurus. Bila semakin banyak duit dikeluarkan, dan cukai dikurangkan, rakyat dan industri akan mudah berbelanja dan dengan itu permintaan pasaran boleh meningkat.

Kalau tengok itulah apa yang diamalkan oleh DS Najib Razak. Ketika kemelut kewangan, kita melihat dia berbelanja dengan memberikan BR1M, bantuan untuk usahawan yang pelbagai jenis dan macam-macam lagi.

Dasar Ekonomi Najib Razak Yang Beliau Lakukan

BR1M – Bantuan Rakyat 1Malaysia

Ini sumpah bila saya sebut confirm ada melekehkan. Tapi BR1M sekarang masih ada cuma jenama ditukar jadi BSH. Itu sahaja. BR1M ini adalah bantuan kewangan yang diberikan kepada individu dan isi rumah yang terpilih. Tujuan BR1M adalah membantu rakyat yang memerlukan tetapi dalam masa yang sama adalah ia nya menurut konsep Keynisian. Dengan memberi kan wang kepada rakyat, ianya merangsang permintaan terhadap pembelian.

Kita tolak tepi dahulu tentang konsep ekonomi. Tetapi bergaul dengan kawan-kawan, ada yang menerima BR1M dan bersyukur menerima BR1M. Kisah yang menarik saya dapat adalah seorang penerima BR1M menggunakan wang tersebut sebagai modal untuk dia mulakan niaga makanan secara kecil-kecilan. Dan dari situ, dia dapat menampung kewangan keluarganya.

Alhamdulillah, terima kasih kerajaan Tun kerana masih mengekalkan bantuan kewangan ini kepada mereka yang memerlukan walaupun di tukar nama.

Peneraju – Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera

Peneraju adalah badan yang ditubuhkan pada zaman PM Najib Razak. Ianya bertujuan untuk meningkatkan taraf pendidikan Bumiputera ke arah lebih baik. Bukan lah selama ini tak baik. Tidak. Tetapi Peneraju membantu secara holistik.

Ada 3 skop Peneraju iaitu Peneraju Tunas, Skil dan Profesional. Peneraju Tunas fokus kepada pelajar sekolah. Peneraju Skil pula fokus kepada mereka yang terlibat dalam bidang teknikal. Sebagai contoh, jika sebelum ini kita berkerja dalam bidang teknikal tetapi perkerja biasa, dan kita nampak kita boleh memajukan diri dengan ambil pensijilan sama ada menjadi Boilerman atau lain-lain, kita boleh memohon dengan Peneraju untuk bantuan.

sumber: utusan

Sama juga Peneraju Profesional. Jika dia cuma graduan akauntan, jika ingin jadi lebih lagi dia kena ambil pensijilan profesional seperti ACCA atau MICPA. Maka Peneraju membantu dari segi ini bahkan bukan setakat biasiswa tetapi placement kerja juga diberi.

Apa dasar ekonomi Najib Razak dalam hal ini adalah dia bukan cuma mahu kan anak Melayu dan Bumiputera ini berpuas hati dengan kerja bergaji RM1100. Dia tak marah dan mengatakan anak Melayu malas sebab tak nak ambil kerja 3D -Dirty, Dangerous & Demeaning.

Tapi apa yang DS Najib lakukan adalah memberi peluang untuk anak bangsa jadi lebih baik. Kalau sebelum ini anak muda ini berkerja di sektor pembinaan, sekadar perkerja bawahan, dengan Peneraju dia boleh perbaiki diri dia dan tambahkan skill dia dengan menjadi pekerja teknikal yang mempunyai sijil khas. Dari gaji setakat RM1100 dia boleh naik menjadi RM4500 dan lebih dengan pendidikan.

Dasar ekonomi Najib Razak yang ini bukan menjadikan anak bangsa cuma cukup dengan apa ada, tetapi mencuba menjadi lebih baik dengan peluang diberikan dan dengan itu meningkatkan ekonomi diri sekaligus ekonomi negara.

Dan sekali lagi terima kasih kepada kerajaan sekarang kerana meneruskan agenda yang baik ini.

Teraju-Superb-Teras-MaGIC

Ini pula difokuskan kepada anak muda yang ingin berniaga dalam perniagaan berimpak tinggi dan startup. Apa yang di lakukan adalah memberikan bantuan bukan setakat dana tetapi bimbingan kepada anak muda yang ingin berniaga.

Teraju Superb seumpamanya di fokuskan kepada perniagaan baru bawah 3 tahun. Perniagaan ini akan memperkenalkan perniagaan mereka dalam series pitching yang ada. Dari situ mereka akan diberi dana bersesuaian dengan kehendak projek. Tetapi bukan itu sahaja, mereka juga mendapat pengawasan dari pihak Superb. Dan juga mendapat bimbingan dari usahawan yang berjaya.

Setakat ini sudah RM84.9 juta diberikan kepada 259 perniagaan. Dan jumlah ini sebahagian besar disumbangkan oleh syarikat bumiputera yang turut menyokong usaha ini.

Dan sekali lagi terima kasih kepada kerajaan sekarang kerana meneruskan agenda yang baik ini.

Jaringan Pengangkutan MRT, LRT dan Lebuh Raya

Ini saya rasa paling jelas dan dirasai oleh semua. Sebelum ini LRT mempunyai beberapa line berbeza. Dan dari satu line ke line yang lain perlu tukar stesyen. Tetapi di bawah line ini digabungkan dan dimudahkan. Stesen LRT pula di bina dengan design yang memudahkan pengguna untuk menukar stesyen.

sumber : The Star

Selain itu MRT yang dibina menambahkan lagi kemudahan kepada rakyat untuk bergerak. Sebelum ini capaian LRT yang dalam kawasan inner Klang Valley sahaja, dengan adanya MRT mencapai ke Putrajaya, Sg Buloh dan Kajang. Sayangnya pembinaan MRT3 ditangguhkan. Dengan MRT3, yang menjadi circular connection, MRT 1 dan 2 boleh terhubung dan menjadikan pembinaan MRT secara keseluruhan adalah relevant.

Kemudiannya jaringan ETS ke Utara tanah air, dengan keretapi yang laju dan selesa. Masa perjalanan ke Kuala Kangsar hanya mengambil 2 jam 20 minit sahaja. Dan setiap hujung minggu ianya penuh.

High Speed Rail iaitu project keretapi laju dari KL ke Singapore pula menghubungkan 2 ibu kota besar Asia Tenggara. Dengan HSR, seorang individu boleh sarapan di KL, kemudian makan tengah hari di Singapore, bermesyuarat sebentar dan berjumpa keluarga untuk minum petang di KL semula. Begitu lah kemudahan yang diberikan.

Kemudian, ECRL yang menghubungkan Pantai Timur yang selama ini terpisah jauh juga adalah satu usaha kerajaan zaman Najib Razak. ECRL ini dulu ditempelak hanya bawa ikan sahaja dari Terengganu ke KL tetapi sebenarnya menghubungkan Pantai Timur yang rata-rata orang Melayu yang selama ini tak mendapat peluang yang sama seperti daerah Pantai Barat Semenanjung Malaysia.

Di Sarawak pula, lebuh raya Pan Borneo Highway menghubungkan seluruh Sabah Sarawak dengan jaringan lebuh raya yang baik.

Apa relevannya semua ini?

Connectivity atau perhubungan. Apa yang di usahakan jangan lihat dari sudut keuntungan terus dari penjualan tiket tetapi dari sudut pembangunan yang akan dikecapi.

Dengan adanya perhubungan seperti ini, orang boleh berkerja, berniaga dan membawa barangan dari satu tempat ke satu tempat dengan mudah dan tanpa sebarang halangan yang besar. Bayangkan selama ini kemewahan dan pembangunan dikecapi rata-rata di kawasan Pantai Barat Semenanjung. Tetapi dengan adanya jaringan seperti itu, tiada halangan besar lagi untuk rakyat Pantai Timur mengecapinya. HSR pula menghubungkan 2 negara. Singapura adalah hub perniagaan Asia Tenggara. Dengan akses mudah ke Singapura, usahawan kita boleh ke sana dengan mudah untuk berurus niaga dan membawa masuk pelaburan.

Sayangnya, MRT 3, HSR dan ECRL ditangguhkan.

Dasar Ekonomi Najib Yang Ramai Tidak Nampak

Akibat politik ramai tak nampak apa yang beliau usahakan. Ianya adalah usaha yang baik dan nak tak nak kita kena mengaku yang sekarang ramai antara kita mendapat manfaat dari usaha yang di lakukan.

Ini lah apa yang Datuk Seri Najib lakukan:

Menyediakan Ekosistem untuk kita maju ke depan. 

Ekonomi negara tak berfungsi sebiji sama seperti ekonomi rumah tangga. Seperti contoh, ekonomi Keynesian umpanya kalau dilihat agak pelik kerana dalam keadaan kegawatan dianjurkan untuk berbelanja. Tak sama seperti ekonomi rumah tangga bilamana jika tengah sesak, kita disuruh berjimat.

Tetapi tengok hasil yang dikecapi dan yang kita nikmati. Saya tak pasti adakah langkah penjimatan oleh kerajaan sekarang adalah baik. Yang itu kita ulas lain kali.

Tajul Rijal adalah seorang usahawan dan merupakan peminat tegar dunia pelaburan. Beliau adalah co-founder kakiproperty.com dan juga ringgitmalaysia.com. Boleh hubungi beliau jika ada persoalan terutamanya dalam topik hartanah.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *