Tarikh Hari ini:16 November, 2019

Go Jek, FoodPanda, Grab, Apa Yang Rakyat Malaysia Betul Dapat Manfaat?

Dalam 1-2 bulan kebelakangan ini, berita tentang syarikat startup seperti Go Jek dan Food Panda menjadi bualan hangat di media massa. Menteri Belia Dan Sukan, Syed Saddiq berusaha untuk membawa masuk GoJek ke dalam Malaysia. Manakala baru-baru ini, Syed Saddiq juga terlibat dalam konflik antara rider FoodPanda dan pihak pengurusannya. Ini terjadi bila pengurusan FoodPanda menukar pakej pembayaran yang membuatkan rider tak berpuas hati. Syed Saddiq segera campur tangan dan cuba untuk selesaikan masalah tersebut.

Tetapi pengurusan FoodPanda baru semalam mengatakan (dengan cara mudah faham) kepada rider nya:

Tak suka tak payah kerja sini

sumber: Malaysiakini

Dan Syed Saddiq pun menempelak FoodPanda dengan mengatakan FoodPanda angkuh. Yang lagi menarik, bila Tun Mahathir pula menjauhkan diri dari sebarang statement yang dikeluarkan oleh Syed Saddiq dengan mengatakan itu pendapat peribadi Syed Saddiq dan bukan pendirian kerajaan.

 

Ekosistem Gig Ekonomi

Cerita ini bukan pasal Syed Saddiq. Ini bukan kisah orang politik. Ini pun bukan artikel tentang politik. Ini adalah artikel supaya kita faham reality gig economy.

Gig Economy adalah terma baru. Ia bermula era kini ketika perniagaan jenis startup teknologi mendapat sambutan. Gig economy memberi peluang untuk sesiapa sahaja membuat duit dengan kepakaran atau usaha yang ada. Terdapat banyak model gig economy antaranya Uber, Grab, Food Panda dan lain-lain.

Apa yang dibuat oleh pengusaha gig economy adalah menyediakan platform. Sebagai contoh, FoodPanda menyediakan paltform kepada:

  • Rider untuk mendapatkan wang sebagai delivery/despatch makanan
  • Restoran untuk menjual kan produk mereka tanpa perlu ada despatch/delivery sendiri
  • Pengguna untuk mudah menempah makanan dengan banyak pilihan dalam satu platform

Untuk permulaannya, syarikat gig economy ini akan bermula dengan satu platform atau apps. Dia akan memohon funding dari angel investor atau dari mana-mana badan, syarikat atau individu yang ingin melabur dalam syarikatnya. Biasanya proses pitching  iaitu pembentangan idea dilakukan. Jadi kebiasaannya, mereka memulakan perniagaan atau mengembangkan perniagaan (scale up) dengan modal yang besar sehingga puluh juta dollar.

Dengan wang yang ada, mereka menggunakan strategi penetration pricing. Strategi ini adalah meletakkan harga paling rendah dalam servis mereka untuk menarik pelanggan dan dalam masa sama menjadi market leader. Tapi oleh kerana gig economy ini menjadikan sesiapa sahaja sebagai “kontraktor” mereka, maka ia juga menawarkan insentif dan “gaji” yang amat baik pada para “kontraktor”.

Para “kontraktor” ini bukan berkerja secara terus dengan syarikat. Tiada sebarang surat lantikan sebagai perkerja. Tiada EPF,mahupun Socso dibayar sebab mereka tidak berkerja dengan syarikat. Rider ini adalah “kontraktor bebas” yang terpulang kepada rider untuk berkerja atau tidak. Dan mereka dibayar ikut trip atau kerja yang di lakukan.

Jadi setelah syarikat ini menembusi pasaran dan menjadi market leader sebagai contoh Grab dan FoodPanda sendiri yang mana mereka lah syarikat dominan dalam niche perniagaan mereka, maka, dah pasti mereka nak buat untung. Sebab selama ni mereka buangkan duit sebagai strategi menarik pelanggan untuk membeli dan kontraktor untuk berkerja dengan mereka.

Tiada bisnes di dunia ini yang tak mahu buat keuntungan. Akhir kalam nya pasti yang dikejar adalah berapa keuntungan yang dapat. Sebab itu lah pelabur melabur jutaan ringgit. Kerana bisnes itu berpotensi membuat keuntungan.

Bisnes ini terwujud dalam 2 ruang lingkup. Sama ada naikkan jualan atau kurangkan kos. Jika syarikat gig economy ini mahu naikkan harga servis mereka, dah tentu pelanggan lari kepada pesaing mereka yang lain seperti Grabfood, BungkusIt dan lain-lain.

Jadi yang paling logik adalah mengurangkan kos dengan mengurangkan bayaran kepada “kontraktor”.

Strategi ini bukan benda baru di Malaysia. Uber pernah laku kan. Grab pernah lakukan. Ketika Uber baru di Malaysia, ramai berpusu menjadi driver Uber kerana boleh menjana pendapatan ada yang mencecah belasan ribu sebulan! Kemudian Grab pula masuk dalam pasaran dan guna strategi yang sama. Kemudian mula lah susah para driver untuk kejar insentive. Macam-macam syarat supaya tak ramai yang dapat kejar insentif. Sekarang berapa ramai boleh menjana sampai belasan ribu ringgit melalui Grab?

Sememangnya dari awal tak logik untuk mereka boleh membayar kontraktor setinggi itu. Bisnes ini kalau masih secara prinsip niche bisnes itu sendiri adalah sejenis bisnes konservatif yang sebelum ini secara tradisinya di lakukan oleh orang lain (sebagai contoh, Uber vs Taxi) dah pasti ada kos yang dikeluarkan dan kos ini tak hilang walaupun kita guna apps. Jadi macam mana mereka boleh bayar hingga belasan ribu kepada kontraktor mereka? Tak logik lah kan?

Persoalannya sekarang, ini kah yang kita sebagai rakyat mahukan?

Ini kah 1,000,000 Peluang Pekerjaan Yang Dijanjikan?

Syed Saddiq dalam sembangnya mengatakan yang dia akan cuba membawa 1 juta peluang pekerjaan. Maka ramai anak muda bersorak dan bersyukur. Tetapi bila kita tengok kembali adakah ini 1 juta peluang pekerjaan yang kita mahukan?

Adakah anak muda mahu kekal menjadi delivery boy? Atau menjadi driver sepenuh masa?

Negara kita Malaysia setelah lebih 60 tahun merdeka, sepatutnya memberikan peluang kepada pekerjaan yang berimpak tinggi. Tidak kisah lah dalam apa bidang sekalipun. Tidak semestinya anak muda ini tak berpendidikan ijazah maka tak ada peluang pekerjaan kepadanya.

Berbeza dasar semasa DS Najib pada ketika beliau memerintah. Ketika itu, TVET dan pendidikan vokasional mula nampak diberi perhatian. Pelbagai program dibentuk untuk mengajar anak muda dalam skill teknikal. Macam-macam peluang diberi.

Yang bijak sedikit ada ijazah pula bukan setakat terhenti pada ijazah. Mereka ini melalui Teraju diberikan peluang untuk mengambil profesional certification. Sebagai contoh, jika anda graduan akauntansi, anda boleh memohon untuk mengambil MICPA di bawah Peneraju untuk menjadi auditor bertauliah profesional. Ini adalah sijil profesional yang setingkat lebih tinggi dari seorang pekerja akaun biasa. Yang saya tahu, bahkan ada yang mengambil sijil scuba diving di bawah kelolaan Peneraju.

Yang berani sedikit pula diberikan peluang berniaga sebagai usahawan. Selain daripada kemudahan sedia ada seperti Tekun, Mara dan lain-lain, Teraju pula memainkan peranan untuk membantu usahawan yang mahu membina syarikat berimpak tinggi dan sesuai dengan zaman teknologi. Malah kemudahan seperti MaGIC juga disediakan untuk menggalakkan anak muda mencambah idea dan mengembangkannya.

Tiada Career Growth Dan Learning Curve

Dalam gig economy seperti ini, jika seorang Ahmad menjadi rider FoodPanda selama 5 tahun, maka selama 5 tahun itu sajalah skill yang dia ada. Skill bawa motor dan hantar makanan. Tiada Career Growth dan tiada Learning Curve. Tiada skill baru yang boleh di tambah dan ditulis dalam resume.

Kalau lah si Ahmad yang sama ini kerja selama 5 tahun di KFC, dah pasti dia sudah menjadi manager KFC jika dia kerja dengan baik. Malah jika dia baik lagi, bahkan akan di beri kan training untuk naik menjadi pengurus kawasan dan lain-lain.

Sama juga kalau si Ahmad ini berkerja di Jusco. Saya pernah berkerja di Jusco dahulu secara part time setelah habis SPM dan saya tahu bahawa salah seorang pengurus di situ bermula dengan cuma kerja di department produce (sayur-sayuran). Kemudiannya kerana kerja nya bagus dia naik pangkat sedikit demia sedikit hingga menjadi pengurus!

Sekali lagi seorang Ahmad yang sama kalau menjadi “kontraktor” gig economy seperti ini tetap kekal di tangga yang sama. Gaji nya pada awal tinggi kemudian berkurang walaupun dia kuat berkerja. Sedangkan kalau dia berkerja di tempat lain, dengan kedudukan yang rendah, dengan berkat usaha dan kerajinan, gaji dia bermula dengan rendah kemudian akan menaik tinggi.

Berbeza kan?

Siapa Yang Untung?

Yang untung di sini bukan kita rakyat Malaysia. Bila Gojek masuk mahupun apa jenis lain masuk, kita tak untung sangat. Mungkin lah dapat menambahkan pendapatan. Tetapi ia bukan penambahan yang significant.

Yang significant adalah bilamana kita dapat perbaiki diri kita dari pangkat rendah ke pangkat lebih tinggi. Dari kita tak tahu apa, sekarang dah reti buat wiring dan ambil upah wiring rumah. Itu yang sebenarnya untung.

Itu yang sebenarnya untung kepada rakyat Malaysia.

Kontraktor Gig Economy Bukan Perkerjaan Kerjaya!

Tulisan ini bukan untuk menghentam FoodPanda atau Grab atau lain-lain. Tak sama sekali. Terima kasih kerana memberi kan peluang kepada rakyat Malaysia membuat duit tambahan atau berkerja sementara.

Tetapi kita perlu ingat yang kontraktor gig ekonomi bukan lah kerjaya. Ia tak menjanjikan peluang untuk memperbaiki diri.

Sematkan dalam hati, jika ini lah peluang yang ada setakat ini, jadikan ianya sebagai pendapatan sementara mencari peluang lebih baik. Atau cuma pendapatan tambahan untuk menampung keperluan. Dan bukannya meletakkan hidup dan harap kita kepada syarikat tersebut.

Dan lebih baik lagi, simpan sedikit dari pendapatan itu dan mula berniaga!!

Itu baru betul dari mengejar retorik ahli politik untuk 1juta peluang kerja!

 

Nota: Artikel ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak menggambarkan pendapat RinggitMalaysia.com

Tajul Rijal adalah seorang usahawan dan merupakan peminat tegar dunia pelaburan. Beliau adalah co-founder kakiproperty.com dan juga ringgitmalaysia.com. Boleh hubungi beliau jika ada persoalan terutamanya dalam topik hartanah, bisnes dan kewangan. Senang dihubungi melalui whatsapp di 0182407720

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *