Tarikh Hari ini:26 August, 2019

Kenapa Dana Persaraan KWSP Sangat Digemari?

Majoriti rakyat Malaysia bergantung kepada caruman KWSP sebagai dana persaraan. Oleh itu, topik dividen KWSP ni memang menjadi topik perbualan.

Dividen Tertinggi KWSP

Dividen KWSP tahun 2017 yang diumumkan tahun lepas, merupakan dividen kedua tertinggi iaitu 6.9%!. Manakala dividen tertinggi yang pernah KWSP beri adalah, pada tahun 1996 iaitu sebanyak 7.7%. Ngam-ngam tahun tu adalah setahun sebelum berlakunya krisis kewangan Asia.

Saat-saat yang dinantikan oleh orang ramai iaitu pengumuman dividen KWSP bagi tahu 2018. Kalau kita perhatikan, biasanya KWSP akan isytihar pada bulan 2, jadi bila-bila masa sahaja akan diumumkan dalam masa terdekat ni.

Namun, yang menjadi persoalan dan teka-teki adalah berapa dividen KWSP kali ini? Ada yang mengjangkakan dividen KWSP 2018 agak rendah.  Ini mungkin disebabkan banyak negara dan sektor mengalami penurunan, tidak terkecuali Malaysia. FBM KLCI jatuh hampir 6%, manakala FBM Emas jatuh hampir 11% pada tahun lepas.

KWSP perlu menjana pulangan yang konsisten, bagi memastikan dana persaraan ahlinya yang seramai 14 juta itu cukup. Sekurang-kurangnya 2.5% setahun (konvesional). Dicampur dengan kadar purata inflasi sebanyak 2%, jumlah minima 4.5%.

Saiz Dana KWSP

Saiz dana KWSP berkembang secara purata 10.98% setahun daripada 1990 hingga hujung 2017, sehingga telah mencatat RM768.51 bilion (RM700.75 bilion konvensional manakala RM67.76 bilion simpanan syariah). Pada hujung September 2018, dana KWSP telah mencecah RM785.59 bilion.

Antara tahun 2007 hingga 2017, pulangan dividen dilihat dalam keadaan menaik kecuali pada tahun 2008, 2015 dan 2016 dimana tahun pasaran saham jatuh. Pada tahun 2008, FBM KLCI jatuh sehingga 38.9% yang menyumbang kejatuhan dividen KWSP daripada 5.8% pada 2007 kepada 4.5% pada 2008.

Walaubagaimanapun, kita boleh lihat kenaikan mendadak selepas kejatuhan yang teruk iaitu sebanyak 5.65% pada 2009 manakala 6.9% pada tahun 2017 daripada 5.7% pada tahun 2016.

Peruntukan KWSP Untuk Setiap 1% Dividen

Untuk dividen 2017 tahun lepas, KWSP memperuntukkan sebanyak RM48.13 bilion, bersamaan RM7.02 bilion untuk setiap 1%. Untuk dividen 2007 pula KWSP peruntukkan hanya RM2.89 bilion untuk setiap 1%.

Jika kita kira kadar pertumbuhan untuk 10 tahun (10-years CAGR), setahun adalah 8.26%. Ini bermakna, KWSP perlu peruntukkan sebanyak RM35 bilion – RM 42 bilion untuk beri dividen 2018 sebanyak 5%. Jika kadar dividen 6% pula, KWSP perlu sediakan RM 42 bilion – RM 46 bilion.

Walaupun pulangan dividen 6% dilihat rendah berbanding tahun-tahun sebelum ni, untuk dana yang besar seperti KWSP sangat memadai. Ini kerana, kerisauan utama bagi dana-dana besar adalah lebih kepada capital preservation. Jadi, kena kurangkan pengambilan risiko yang tinggi.

Boleh kah KWSP beri 5% – 6% dividen?

Untuk tahun 2017, KWSP mencatat pendapatan pelaburan sebanyak RM53.14 bilion (RM48.54 bilion konvensional + RM 4.6 bilion Simpanan Syariah). Menurut perangkaan tak rasmi, 3 suku pertama tahun 2018, KWSP telah pun mencatat keuntungan hampir RM40 bilion. Belum lagi dicampur keuntungan suku keempat 2018. Dengan angka ini, dividen 5% sepatutnya tidak mustahil.

Tujuan kita rungkai fakta-fakta ni, bukanlah kita nak kira berapa dividen yang bakal kita dapat. Itu biarlah pihak mereka yang uruskan. Kita ni sebagai pencarum perlu ambil tahu dan fahamkan situasi sebenar. Dengan keadaan pasaran tak menentu, kita perlu jangkakan worst case scenario.

Bila kita dah faham, janganlah pula kita bandingkan prestasi dana besar macam ni dengan dana amanah saham yang lain. Not apple to apple. Yang betulnya adalah penyusunan portfolio pelaburan kita, ada yang risikonya stabil, ada yang risikonya tinggi. Pelbagaikan mengikut selera risiko masing-masing.

Bagi tak nak pembaca rasa hampeh tak get the point, saya tekan beberapa poin kenapa dana persaraan KWSP ni sangat digemari :

  1. Dana ni antara yang terbesar di Malaysia dan ada pendapatan yang konsisten setiap tahun
  2. Risiko tidak tinggi
  3. Pelaburan jangka masa panjang, umur pencen baru boleh merasa. Nama pun dana persaraan. Jika kita lihat 10-years CAGR seperti saya nyatakan diatas adalah sebanyak 8.26%. Jadi, jangan lihat dividen tahunan tu sikit atau banyak, lihat jangka masa panjang.
  4. Purata inflasi pula 3-4%, sudah memadai dividen yang diperoleh untuk atasi inflasi.

Sebenarnya kita boleh buat kiraan berapa jumlah dana persaraan bila kita bersara nanti seiring dengan kadar kenaikan gaji dan gaya hidup kita. Dengan itu, kita boleh bersara dengan tenang dan yakin bila bersara nanti. Maklumlah, setelah penat lelah kerja untuk kumpul aset, bila dah bersara biarlah aset pula bekerja untuk beri kita duit.

Share

Zuhair Masiran adalah seorang Licensed Financial Planner dan merupakan peminat tegar dunia pelaburan. Selain tu, beliau sangat minat hal-hal yang memerlukan kreativiti seperti grafik design. Beliau juga menulis dalam blog personalnya, notawang.com. Jika ada persoalan hal kewangan peribadi, boleh hubungi beliau untuk dapatkan nasihat yang kreatif!.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *